Thursday 19 April 2012

10 perangkap syaitan --


 Sifat mazmumah penyebab utama 



ALLAH berfirman yang bermaksud: 
``Syaitan memberikan janji yang
membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu 

tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka.
 Tempat 
mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat 
untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121). 

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri 
masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang 
diamalkan dalam kehidupan seharian. 

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau 
tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk 
menapak dalam diri. 

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan 
sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan 
nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. 

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat 
dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit 
syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan 
manusia tersebut. 

Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai 
hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan 
memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. 
Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. 
Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia 
melalui sepuluh pintu: 

1. Melalui sifat bohong dan angkuh 
Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri 
manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang 
lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan. 

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut 
Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah 
yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. 
Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang 
memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. 

3. Melalui sifat takbur dan bongkak 
Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang 
merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka 
terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh 
ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. 
Allah Taala berfirman yang bermaksud: ``Sesungguhnya Dia tidak 
menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23) 

4. Sifat khianat 
Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan 
sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup 
orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, 
perkongsian dan sebagainya. 

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat 
Junjungan Rasulullah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda 
agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia 
yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka 
dinasihati atau mendengar nasihat orang lain. 

6. Melalui sifat hasad 
Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan 
dendam yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang 
bermaksud: `` Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan 
memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering `` 
(Riwayat Bukhari dan Muslim). 

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain 
Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu 
itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang 
lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan 
dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa 
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: ``Tiga kelompok 
manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua 
Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim). 

8. Melaluisifat ujub atau bangga diri 
Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: 
``Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya 
hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat 
Abu Naim daripada Muaz bin Jabal) 

9. Melaluisifat suka berangan-angan 
Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha 
bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah 
dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian 
yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya. 

10. Melalui sifat buruk sangka 
Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan 
tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah 
s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata 
kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang 
berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)
  

No comments:

Post a Comment